Jumaat, 10 Ogos 2012

Bahasa Melayu


Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Rakyat Malaysia
Memartabatkan bahasa Melayu diertikan sebagai memberi kedudukan yang tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada Bahasa Melayu dalam kalangan penutur aslinya serta masyarakat lain, pada peringkat nasional, serantau dan global. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasaMelayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Selaras dengan fungsinya sebagai alat perpaduan, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannyalebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
Kita perlu memupuk kesedaran tentang pentingnya Bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan menggunakan Bahasa Melayu dengan betul apabila bertutur dengan anak-anak. Selain daripada itu pihak yang bertanggungjawab iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memberi kesedaran dalam masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Media massa amat memang berkesan untuk mempengaruhi orang ramai. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas, sudah pasti bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlulah diperkasakan. Pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Denda boleh dikenakan kepada sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat- menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Semua pihak perlu berganding bahu untuk meartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberi penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama dan bahasa rasmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan