Jumaat, 10 Ogos 2012

Mak Yong 2


TARIAN MAK YONG

Dalam tarian Mak Yong ada gerakan cerita. Selepas dengan persembahan REBAB, segmen memperkenalkan diri disembahkan sebelum pecah cerita. Segmen ini merupakan satu segmen yang memberi penjelasan dan pemahaman kepada khalayak agar dapat memahami dan mengenali watak bagi menghayati segmen-segmen berikutnya.
Pak Yong selaku watak utama atau teraju dalam persembahan akan memperkenalkan dirinya, negaranya, asal usulnya, istananya dan mimpinya melalui ‘Lagu Ela’.Ini merupakan satu cara bagi mendekatkan penonton dengan watak dan memudahkan penonton memahami jalan cerita. Dengan cara ini penonton dapat menghayati cerita yang dipersembahkan dengan mudah.
Cerita Mak Yong mempunyai struktur yang tersendiri dan bentuknya.Walaupun cerita berbeza sekalipun strukturnya adalah sama. Diantara Strukturnya ialah:

1.   Bertabuh
2.   Mengadap rebab
3.   Raja atau Pak Yong keluar dan berdialog dengan Mak Yong.
4.   Pak Yong Muda atau Puteri  Mak Yong akan menyanyi.
5.   Dialog Pak Yong memanggil pengasuh.
6.   Yanyian Pak Yong Tua- Sendayong Pak Yong.
7.   Dialog
8.   Nyanyian Peran
9.   Dialog antara Pak Yong dengan Peran
10.  Pak Yong menyanyi lagu berkhabar.
11.   Dialog
12.   Nyanyian Peran
13.   Dialog
14.   Nyanyian Peran
15.   Dialog
16.   Lagu barat cepat
17.   Dialog Peran 1 dan 2
18.   Lagu Tok wak
19.   Dialog Pak Yong
20.   Lagu Ela oleh Pak Yong membawa cerita yang akan di persembahkan.




1.5.2 WATAK-WATAK
Pada suatu masa dulu Mak Yong  dimainkan oleh pelakon-pelakon wanita. Gadis-gadis jelita akan melakonkan peranan lelaki dan perempuan kecuali watak-watak komedi atau peran. Adalah dipercayai bahawa keadaan ini terjadi kerana Mak Yong merupakan hiburan bagi permaisuri dan puteri-puteri raja ketika Raja dan pembesar negeri meninggalkan istana bagi  berperang  atau berburu. Kebimbangan akan kemungkinan bahawa permaisuri atau puteri-puteri raja jatuh cinta kepada pelakon Mak Yong menyebabkan pelakon Mak Yong terdiri dari kaum wanita. Kisah yang dipaparkan oleh Mak Yong ini, berkait dengan kehidupan raja-raja oleh telah menonjolkan nilai estetika yang tinggi pada persembahan Mak Yong. Namun begitu bagi menjadikan persembahan lebih menarik maka pada masa kini terdapat pelakon lelaki terlibat dalam persembahan Mak Yo ng. Bilangan pelakon juga berubah dari 8 - 10 orang kepada 20 - 25 orang untuk 1 persembahan. Perubahan ini bertujuan supaya persembahan hiburan ini menjadi lebih sofistikated  kepada cerita yang dipersembahkan.

Watak-watak yang terdapat dalam persembahan Raja Tangkai Hati:
1.      Pak Yong Muda (Raja Tangkai Hati)     - watak utama lelaki.
2.      Puteri Cempaka Emas                             - watak utama wanita.
3.      Anakanda Raja Tangkai Hati                  - Malim Bongsu dan Malim Bisnu.
4.      Peran Raja Tangkai Hati                         - 2 orang pelayan lelaki
5.      Ayahanda Alur Mengkuang
6.      Puteri Bota  dan Jin                                 - watak Jahat perempuan
7.      Ayahanda Raja Tangkai Hati
8.      Peran Ayahanda Raja Tangkai Hati        - 2 orang pelayan lelaki
9.      Wak Nakhoda
10.  Dewa Betara Guru                                   - Dewa.
11.  Nenek Mak Ikan Jerung                          - Binatang
12.  Inang                                                       - Pelayan wanita




WATAK
PERANAN
PAK YONG
*      Pak Yong Tua – menjadi raja atau pemerintah dan      menjadi tulang belakang cerita Mak Yong.
*      Pak Yong Muda – watak utama atau hero dalam cerita Mak Yong.
*      Dalam cerita Raja Tangkai Hati, Pak Yong Muda pewaris takhta. Ia mempunyai kebolehan untuk memanggil angina kapal bagina yang terhenti dapat dilayarkan semula bagi meneruskan perjalanan ke istana ayahanda.
MAK YONG
*      Mak Yong – merupakan peranan utama wanita dalam persembahn Mak Yong.
*      Dalam cerita Raja Tangkai Hati, watak Mak Yong adalah Puteri Cempaka Emas iaitu isteri Raja Tangkai Hati.
PERAN
Watak peran dalam persembahan merupakan watak lucu dan berperanan  sebagai pelayan, pengawal dan pelindung raja biasanya watak peran bernama Awang. Kesemua peran disolek dengan solekan yang melucukan bagi menambahkan kesan humor.
*      Peran Tua – berperanan sebagai penasihat, perunding dan pembantu peribadi kepada raja dalam segala aspek kehidupan meliputi kasih sayang, kekeluargaan,politik dan pentadbiran Negara.
*      Peran Muda – lebih cenderung kepada watak humor.
Dalam cerita Raja Tangkai Hati menampilkan 4 watak peran iaitu 2 orang peran ayahanda Raja Tangkai Hati.
DAYANG ATAU INANG
Dayang atau inang dilakonkan oleh gadis-gadis berfungsi sebagai penari dan pengiring Mak Yong dan Puteri Mak Yong. Inang juga berfungsi sebagai ahli korus (Jung Dondang) apabila mereka tidak melakonkan watak tertentu dalam sesetengah babak.
TOK WAK
*      Tok Wak – merupakan watak orang tua
Dalam cerita Raja Tangkai Hati, Tok Wak merupakan Dewa Betara Guru yang menyamar sebagai pawing.
DEWA
*      Dewa – berperanan mengembalikan keharmonian dalam cerita
Watak Dewa Betara Guru dalam cerita Raja Tangkai Hati telah membantu kedua orang putera yang dicampakkan ke laut oleh ayahandanya kerana gagal membuat pertimbangan yang waras akibat dari godaan dan pengaruh Puteri Bota yang menjelma sebagai Puteri Cempaka Emas.
JIN
*      Jin gergasi – merupakan watak jahat sebagai punca konflik dalam cerita-cerita Mak Yong.
Watak Puteri Bota dalam cerita Raja Tangkai Hati merupakan watak jin yang jahat. Dia membalas dendam di atas tindakan Raja Tangkai Hati yang telah memungkiri janji untuk berkahwin dengannya. Dendam yang membara menyebabkan Puteri Bota sanggup berbuat apa sahaja dan akan merasa berpuas hati walaupun hanya semalam sahaja dapat bersama dengan Raja Tangkai Hati. Puteri Bota bertindak menawan Puteri Cempaka Emas dan menyumpah puteri tersebut menjadi separuh manusia separuh mawas. Dia kemudiannya berubah wajah menyerupai Puteri Cempaka Emas dan menyusup masuk ke bahtera Raja Tangkai Hati. Puteri Bota berjaya menyakinkan rja lalu mempengaruhi baginda supaya membunuh anak-anak baginda. Segala perbuatan Puteri Bota adalah dengan menggunakan kuasa ghaib luar biasa yang ada padanya.
WATAK BINANG
*      Binang – me njadi penyelamat di saat watak-watak lain mengalami kesusahan,
Watak binang dalam Raja Tangkai Hati sangat indah menjadi penyelamat di saat watak lain mengalami kesusahan. Watak Mak Jerung dalam cerita Raja Tangkai Hati menjadi penyelamat kepada kedua putera daripada mati lemas.


1.5.3 KOSTUM

Rajah 1.5.3 a
Pakaian Mak Yong dan Pak Yong adalah sama dalam Dramatari Melayu Mak Yong yang dijadikan hiburan di istana sejak 400 tahun dahulu. Pada zaman dahulu, pakaian mereka terdiri daripada baju sempit dan seluar dibuat daripada kain satin, yang dipadankan dengan kain samping labuh dan dikemaskan dengan tali pinggan. Mereka akan menghiaskan bahagian dada mereka dengan sibar layan atau dengan manik-manik halus berwarna-warni seperti kolar baju layang. 

Perhiasan kepala mereka dibuat daripada baldu yang berbentuk mahkota dan berhiaskan batu-batu permata. Mereka juga memakai sunting malai di telinga.  Mereka memakai tanjak atau mahkota yang diperbuat daripada kain baldu khas dan dihias dengan manikam. Bahagian atas tanjak dihias dengan beberapa kuntum bunga Melur. Pak Yong biasanya membawa seikat rotan yang dipanggil ‘rotan beta’ untuk memukul Peran. Peran pula memakai kain sarung dan sepasang seluar besar. Kain semutar yang dibuat daripada kain kapa akan diikat di pinggang Peran. Peran juga menggunakan replika parang yang dibuat daripada kayu dan menyelitkannya di pinggang.

Pakaian puteri juga hampir sama dengan Mak Yong. Mereka memakai kebaya sutera dan kerongsang yang dibuat daripada emas dan permata serta kain sibar. Mereka juga memakai pending, tetapi pending Mak Yong lebih cantik daripada pending puteri kerana dihiasi dengan sebutir permata. Semua pelakon dalam persembahan Mak Yong tidak memakai kasut.

Pelakon-pelakon lain seperti dayang memakai kebaya dan sarung sutera tetapi tidak berpending atau berkain sibar. Semua rambut pelakon mereka disanggul dan dihias bunga melur kecuali Peran. 

Pada masa kini, pakaian persembahan Mak Yong telah dimodenkan. Mereka memakai baju kemban broked keemasan dan kain ketat yang  diperindah dengan siba laying. Mereka juga menggunakan dendek untuk menghiasi dahi.

Mak Yong


PENGENALAN
Mak Yong merupakan satu tarian melayu tradisional yang dikategorikan dalam kumpulan muzik tari/seni lakon. Persembahan Mak Yong menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan alat muzik, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Tarian Mak Yong biasanya dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau-Indonesia.
         
          Terdapat beberapa tujuan Mak Yong dipersembahkan. Antara tujuannya adalah untuk hiburan. Pada zaman kini, Mak Yong biasanya dipersembahkan untuk tujuan persembahan dan hiburan kepada penonton sahaja. Selain itu, di sesetengah kawasan, Mak Yong juga dijadikan sebagai satu teknik perubatan tradisional (musictherapy). Mak Yong selalu dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun. Mak Yong juga dipersembahkan dalam upacara sembah guru di mana guru mak yong akan menyerahkan kuasanya kepada anak muridnya untuk mewarisi pangkatnya sebagai guru Mak Yong. Selepas upacara sembah guru dilakukan, semua kerja mengajar Mak Yong akan diwarisi oleh anak murid tersebut dan guru tersebut tidak boleh lagi bergiat atau melibatkan diri dalam bidang Mak Yong. 
         
          Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan di panggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.
         
          Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak.



SEJARAH MAK YONG
Mak Yong dipercayai telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan di kalangan kampung, usia sebenar Mak Yong tidak dapat dikenal pasti. Namun, ia dipercayai telah wujud lebih daripada 800 tahun. Menurut Hikayat Patani, Mak Yong telah dibawa ke Kelantan lebih dari 200 tahun dahulu. Dari situlah Mak Yong berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.
Mak Yong telah dipentaskan sebagai pementasan diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dahulu semasa di Patani, Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang biasa. Namun, pada awal abad ke-20, tarian Mak Yong mula berkembang ke merata-rata kempung tanpa naungan istana. Ini adalah kerana kedatangan British ke Kelantan telah mengurangkan kedudukan ekonomi raja-raja. Ini telah menyebabkan kemerosotan mutu persembahan Mak Yong.
Selain itu, lagenda Mak Yong mengaitkan dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang. Pada ketika itu, ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian dan merawat penyakit. Pada zaman dulu, tarian ini dipersembahkan sebaik sahaja selepas orang-orang kampung selesai menuai padi di bendang. Inilah salah satu asal usul datangnya Mak Yong.
Tambahan pula, ada juga yang mengatakan bahawa Mak Yong berasal dari kisah 2 orang adik beradik yang kerjanya menjaga lembu di padang. Pada masa menjaga lembunya, mereka terpesona dengan tiupan angin lembut ke atas pokok-pokok kayu di sekitar padang itu. Gerak-geri dahan, liuk-lintuk ranting, lambayang ranting dan lambayang daun serta gaya daun luruh berguguran ke bumi amat mengagumkan mereka dan inilah yang mewujudkan Mak Yong.
Menurut ASWARA, Mak Yong berasal dari tiga beranak. Pada suatu hari, tiga beranak ini jatuh sakit. Mereka mempunyai seorang ibu yang amat sayang dengan mereka. Oleh itu, ibu mereka telah mencari pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan anak mereka supaya sembuh daripada penyakit mereka. Namun, sebanyak-banyak alternatif yang dicarinya, tidak ada satu pun alternatif yang boleh menyembuhkan penyakit anak-anaknya. Oleh itu, pada suatu hari, tiba-tiba terlintas di hatinya dan terlucut di mulutnya mengatakan bahawa "kalau anak aku sembuh seperti biasa, aku nak main Mak Yong". Bagaimanakah dia boleh tercakap ayat ini sedangkan pada masa itu, dia tidak tahu apa-apa pun mengenai Mak Yong dan Mak Yong tidak wujud pun di dunia ini pada ketika itu? Inilah perkara ajaib. Tidak lama selepas dia terlepas ayat tersebut, anak-anaknya pun telah sembuh daripada penyakit ganjil mereka itu. Pada ketika ini, oleh sebab ibu tersebut telah terlepas cakap, dia terpaksa laksanakan dan wujudkan juga Mak Yong tersebut. Dengan itu, dia pun mewujudkan dan mencipta lagu-lagu dan seni kata Mak Yung melalui pandangan alam sekeliling yang semula jadi. Sebenarnya perkataan Mak bermaksud "ibu" dan "Yong" berasal dari perkataan "ayong" yang bermaksud buai dalam bahasa Kelantan.
Zaman kejatuhan Mak Yong bermula apabila nilai moral penari-penari mula merosot. Terdapat banyak kisah sumbang di antara penari-penari Mak Yong dengan penonton. Selain tiu, penceraian di kalangan suami isteri dan anak-anak Mak Yong merupakan suatu perkara biasa. Oleh itu, pandangan masyarakat terhadap penari-penari mak yong mula merosot dan mereka mula hilang kepercayaan terhadap moral mereka. Selain itu, kemasukan pengaruh budaya-budaya Barat yang meluas menggelapkan lagi permainan Mak Yong. Ini kerana masyarakat menjadi lebih berminat dengan permainan-permainan Barat tersebut.
 Setelah zaman kejatuhan Mak Yong, Mak Yong telah berjaya dihidupkan semula oleh Kumpulan Seri Temenggung di Kota Bharu di bawah pimpinan Cik Khatijah Awang. Kumpulan ini telah memulakan satu fasa baru dalam sejarah Mak Yong. Penubuhan kumpulan-kumpulan teater kampung Temenggung menyebabkan Mak Yong  mula menarik perhatian orang ramai di kampung-kampung di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


ALAT MUZIK YANG DIGUNAKAN UNTUK TARIAN MAK YONG
Alat muzik utama yang dimainkan dalam persembahan Mak Yong adalah rebab tiga tali, sepasang gendang, dan sepasang tetawak. Namun, terdapat alat tambahan juga dimainkan dalam muzik Mak Yong untuk menambahkan kesedapan alunan melodinya. Antara alat-alat tersebuadalah canang, kesi, serunai.
                                         
Rajah 1.2a

Rajah 1.2a ialah Rebab merupakan alat yang paling penting dalam muzik Mak Yong. Rebab mempunyai 3 bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka dibuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutupi dengan kulit lembu. Terdapat susu pada muka di penjuru kiri. Fungsinya adalah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Masa dahulu, tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang pula mengunakan tali gitar, tali gambus atau tali biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan  tali tangsi.

Rajah 1.2b
Rajah 1.2b menunjukkan gambar Gong atau tetawak turut memainkan peranan yang penting. Gong ibu adalah lebih besar dari gong anak yang diperbuat dari tembaga. Bunyian gong ibu lebih rendah dari bunyian gong anak. Kedua-dua digantung dan dipisahkan oleh 2 batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukul diperbuat daripada kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat dari kayu  yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah Gong besar akan berbunyi pada setiap bit terakhir sesuatu lagu manakala gong anak akan menentukan bit-bit tertentu. Pic gong yang menentukan form dalam muzik Mak Yong.

Rajah 1.2 c
Rajah 1.2c menunjukkan gambar Gendang anak dan gendang ibu diperbuat dari kayu nangka dan muka gendang ditutupi dengan kulit lembu dan kulit kambing. Pemukulnya diperbuat dari rotan dan kayu. Gendang digunakan untuk mengawal tempo sesuatu lagu.

Rajah 1.2 d
Dalam rajah 1.2d ialah Canang merupakan suatu alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat canang ibu dan canang anak. Perbezaaan canang boleh didengar melalui bunyi. Jika bunyinya adalah kuat maka itu adalah canang ibu dan sebaliknya. Canang digunakan untuk mengawal bit sesuatu lagu.

Rajah 1.2 e
Rajah 1.2 e menunjukkan gambar Kesi juga merupakan alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat dua bahagian pada kesi iaitu empat piring dan dua kicah dan diperbuat dari besi ataupun tembaga. Suara yang dihasilkan oleh kesi adalah memecah dan gemersik.

Rajah 1.2 f

         Dalam rajah 1.2 f ialah Serunai juga merupakan alat muzik dalam Mak Yong. Serunai terdiri daripada empat bahagian iaitu pipit, mali, batang dan copong. Terdapat serunai diperbuat dari kayu sepenuhnya, kecuali pipit dan ada bahagian tertentu diperbuat dari tembaga. Daun tor kering digunakan untuk membuat pipit dan mali pula diperbuat dari tembaga atau perak.


z
JENIS MAK YONG

Terdapat 7 jenis persembahan Mak Yong yang pernah wujud. Setiap jenis persembahan Makyong mempunyai sedikit perbezaan yang membezakan di antara satu dengan yang lain. Jenis-jenis Makyong tersebut ialah Mak Yong Patani (ditemui di Pattani, Yala dan Narathiwat, tiga buah wilayah di selatan Thailand yang dahulunya merupakan wilayah Kesultanan Melayu Patani), Mak Yong Kelatan (ditemui di negeri Kelantan dan daerah Besut, Terengganu, Malaysia.), Mak Yong Kedah (ditemui di negeri Kedah, Malaysia), Mak Yong Laut (ditemui di negeri Perlis (Malaysia) dan wilayah Satun (Thailand)), Mak Yong Riau (ditemui di Wilayah Riau, Indonesia), Mak Yong Medan (ditemui di Medan, wilayah Sumatera Utara, Indonesia), dan Mak Yong Kalimantan (ditemui di Kalimantan, Indonesia).

Selain daripada itu, terdapat 3 jenis Mak Yong yang terkenal di Malaysia iaitu Mak Yong Kelantan, Mak Yong Kedah dan Mak Yong Laut. Mak Yong pada masa dahulu dipersembahkan pada masa yang tertentu umpamanya, sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai, memeriahkan keramaian perkahwinan atau pesta budaya yang diadakan untuk merayakan hari keputeraan sultan atau hari Kebangsaan.Tetapi sekarang ia tidak lagi dipersembahkan untuk pemujaan, hanya unsur-unsur persembahannya digunakan dalam upacara main puteri iaitu upacara mengubati pesakit dengan pertolongan semangat-semangat tertentu. Mak Yong kelantan ditemui di negeri Kelantan dan daerah Besut, Terengganu, Malaysia. Ianya menggambarkan sebilangan unsur-unsur istana dalam bahasa, muzik dan tarian.

REPERTOIR
Repertoir muzik Mak Yong mempunyai terdiri daripada lagu-lagu paluan dan lagu-lagu nyanyian. Lagu-lagu paluan dimainkan untuk beberapa kegiatan tertentu. Lagu-lagu nyanyian seperti Sedayung Mak Yong dan Sedayung Pak Yong kerapkali digunakan untuk berbagai tujuan.
Jadual di bawah menunjukkan pelbagai repertoire Mak Yong.
BIL
JENIS REPERTOIR
KETERANGAN
1.
Lagu Menghadap Rebab


Terpanjang dan terpenting, symbol sebagai penghormatan kepada rebab.
2.
Lagu Kijang Emas
Dimainkan sebagai lagu instrumental sebelum bermula persembahan Mak Yong
3.
Lagu Sindung
Dinyanyikan oleh Pak Yong semasa hendak memberi arahan dan mendedahkan emosi, juga dinyanyikan oleh peran tua dan dimain sebagai lagu selingan sebelum persembahan.
4.
Lagu Sedayung
Lagu yag menyampaikan maklumat, arahan kepada peran dan watak yang lain.
5.
Lagu Mengambul
Dinyanyikan oleh watak utama dalam adegan sedih untuk menyampaikan berita sedih.
6.
Lagu Saudara
Dinyanyikan secara berselang-seli dengan lagu Kijang mas oleh seorang inang.
7.
Lagu Pak Yong Muda
Dinyanyikan oleh Pak Yong menyampaikan berita negeri semasa adegan sedih.
8.
Lagu Mak Yong Muda
Dinyanyikan oleh Mak Yong pada pertengahan cerita dalam adegan sedih.
9.
Lagu Tok Wok
Dinyanyikan oleh peran tua semasa menyampaikan berita atau meluahkan perasaan.
10.
Lagu Barat
Terdapat empat versi iaitu Barat Anjur, Kisah
      Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat.

11.
Lagu Pikir
Dinyanyikan oleh watak untuk meluahkan perasaan dan mengiringi tarian.
12.
Lagu Yur
Dinyanyikan oleh peran atau Pak Yong untuk menyampaikan berita
13.
Lagu Balik Padi
Dinyanyikan ketika gembira semasa dalam perjalanan.
14.
Lagu Berkhabar
Dinyanyikan oleh Pak Yong atau peran untuk menyampaikan berita.
15.
Lagu Gading Timah
Dinyanyikan oleh Pak Yong dalam cerita Tuan Puteri Bergading Timah.
16.
Lagu Kojol
Dinyanyikan oleh peran untuk mengambarkan aksi fizikal seperti mendayung sampan.
17.
Lagu Buluh Seruas
Menggambarkan suasana
18.
Lagu Jamba (Gembal)
Menggambarkan suasana
19.
Lagu Yo Peran
Dinyanyikan oleh Pak Yong untuk memanggil peran tua pada permulaan cerita peran juga menyanyikan lagu ini.
20.
Lagu Anak Kumbang
Dinyanyikan semasa gembira oleh Pak Yong, Mak Yoing, Puteri dan Putera.
21.
Lagu Sri Gunung
Dinyanyikan oleh peran atau Pak Yong untuk menyampaikan berita, juga dinyanyikan semasa salingan sebelum persembahan cerita.
22.
Lagu Mengulik
Lagu timang-timangan untuk kanak-kanak dan dewasa.
23.
Lagu Dayung Sampan
Dinyanyikan semasa melakukan aksi mendayung sampan.
24.
Lagu Mak Puyuk
Dinyanyikan oleh peran semasa bergurau
25.
Lagu Tari Inai
Mengiringi tarian inai
26.
Lagu Kisah Puteri Mak Yong
Dinyanyikan oleh Puteri atau Mak Yong untuk meluahkan perasaan.
27.
Lagu Menghadap Raja
Dinyanyikan peran dalam  perjalanan menghadap raja.
28.
Lagu Sabar
Dinyanyikan semasa melakukan aksi seperti membaca surat untuk mendedahkan maklumat.
29.
Lagu Berlari Hambat Rusa
 (lagu berjalan)
Mengiringi dalam perjalanan atau semasa memburu.